Keluarga Baru
Hari ke-19 | Barira, Mindanao
Hari ini Aku menzahirkan kehebatanKu Ya Haadi dalam memberi petunjuk dan panduan sehinggalah A selamat sampai ke pekan Parang dengan damainya. Aku hadirkan Rahma yang telah menghubungi A melalui aplikasi media sosial dan memberi panduan untuk ke pekan Parang. Di sini, A akan dijemput untuk bertamu di kampung Rahma dan keluarga jauh di kawasan pedalaman, Barira. Rahma ini pula adalah sebenarnya saudara jauh Sophia yang tinggal di wilayah Mindanao bersama kaum kerabat mereka yang lain dan fasih berbahasa Inggeris.
Dibawa ke Barira, Aku mempamerkan limpahan rahmat dan kasih sayangKu Ya Rahman Ya Rahim Ya Rouf Ya Karim buat semua, di mana A disambut dengan penuh ramah mesra dan kasih sayang di rumah ibu Rahma. Kesemua ahli keluarga Rahma menyambut A sebagai tetamu dengan tangan terbuka dan gembira lagi teruja, seolah-olah A adalah saudara mereka yang sudah lama tidak ketemu. Terngiang-ngiang ayatKu dalam surah Al-Anaam ayat 12 di telinga A,
كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ ٱلرَّحْمَةَ
yang bermaksud “Ia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat”. Ya, sungguh Akulah pemberi rahmat yang melimpah ruah dan rahmatKu akan terus melimpah tanpa batasan dan pengakhiran. Sangat dahsyat.
Setelah seronok berbual mesra berkenalan sesama mereka
sambil menjamu selera, mereka membawa A menziarahi sebuah lagi rumah di situ
yang jaraknya dalam anggaran 15 minit menaiki motorsikal roda tiga yang bakal
menjadi tempat berteduh A di sepanjang tempohnya bermukim di situ.
A kemudiannya mengikut nenek saudara Rahma bernama Nancy
yang baru sahaja dikenali, menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah serta
membantu A dalam apa-apa jua urusan berkenaan penjelajahannya di wilayah
Mindanao ini, termasuklah tempat tinggal dan makanan sehari-harinya.
Alhamdulillah. Nancy sudah pun lama berkahwin namun masih belum dikurniakan
anak, dek kerana itu menganggap ini adalah peluang terbaiknya untuk merasakan
nikmat menjaga seorang anak dan melayan A sebagai darah dagingnya sendiri.
Begitulah dahsyatnya kasih dan sayang yang Aku curahkan buat
sekalian makhluk-makhluk ciptaanKu. Bertepatan namaKu Ya Rahman Ya Rahim, kasih
sayangKu akan terus membanjiri sekalian alam sehinggakan hamba-hambaKu
terpinga-pinga merasai kedahsyatan limpahan rahmat dan kasih sayangKu yang
tidak pernah berhenti dan bertepi, melimpah ruah tidak terjangkau dek akal
serta tidak ada batasannya. Bahasa mudah, infiniti. Tidak memerlukan sebarang
asbab musabab. Aku maha kasih, maha kasih, maha kasih. Aku maha sayang, maha
sayang, maha sayang. Jangan ragu!
Comments
Post a Comment