Bidadari Syurga
Hari ke-163 | Tawi-Tawi, Mindanao
Sesudah beberapa bulan bernafas tenang di Butig sambil menikmati bahagia cinta dariKu Ya Waduud, Aku terus mengorak langkah A menuju ke penghujung selatan Filipina menghampiri Sabah, Malaysia. Dari Butig menuju ke Malabang memakan masa 2-3 jam, kemudian ke terminal bas Pagadian City yang juga memakan masa antara 2-3 jam, dan menaiki bas ke Zamboanga City dalam 5-6 jam perjalanan. Tiba di Zamboanga City hari sudah pun gelap, maka A menginap di hotel berhampiran untuk berehat. Selepas 2 malam, A meneruskan perjalanan ke Tawi-Tawi sebuah pulau di mana terletaknya tapak pertama penyebaran Islam di Filipina.
Sejurus menjejak kaki di Tawi-Tawi, turun sahaja dari feri, Aku
Ya Wahhab menghadirkan seorang pemandu tricycle bernama Muhammad yang
mendekati A sambil membujuk untuk menggunakan servis pengangkutannya. A sekadar
membalas sambil lewa seraya berjalan mempercepat langkah menuju ke arah masjid
terdekat. Bukan apa, waktu itu kedengaran jelas azan subuh menandakan waktu
untuk menunaikan kewajipan sebagai abdi. Solat, sembahyang, rukuk, dan sujud
sembah Allah! Muhammad juga turut melajukan langkahnya mengikut A sambil
menunjuk arah jalan ke masjid. Selesai solat, Muhammad masih menunggu A di
hadapan masjid sebelum A disapa dan dipelawa untuk sarapan bersama di kedai
makan berhadapan masjid oleh beberapa jemaah lelaki tempatan.
Hampir 1 jam berbual sambil berkenalan dan bersarapan, Aku
Ya Baari’ mengatur langkah A untuk bergerak mencari tempat penginapan bersama
Muhammad yang setia menunggu. Satu per satu hotel dan rumah tumpangan ditanya
Muhammad untuk membantu A, semuanya penuh ataupun menawarkan harga tinggi
melebihi bajet yang ada. Kira-kira 2 jam keliling pulau dengan tricycle
dipandu Muhammad sambil menikmati pemandangan indah, A mula terasa letih lalu hanya
bersetuju tatkala Muhammad menawarkan untuk menginap di rumah keluarganya
sahaja.
Dalam perjalanan ke rumah Muhammad, tiba-tiba Aku Ya Qodir
Ya Muqtadir mentakdirkan Muhammad berhenti di sebuah rumah tumpangan untuk
bertanya ketersediaan bilik kosong bagi penginapan A sebagai langkah terakhir.
Alhamdulillah, ada bilik kosong dengan harga yang berpatutan, lalu A terus
mendaftar masuk dan menginap di situ untuk beberapa hari.
Aku Ya Salam Ya Mukmin merehatkan A di bilik tersebut untuk
menghilangkan lelahnya namun berasa tidak selesa dengan kehadiran Muhammad yang
kerap kali menjenguk A di bilik tersebut. Pagi, tengahari, petang termasuklah
waktu malam Muhammad datang mengetuk pintu, menyinggah di bilik kononnya
risaukan keadaan A yang bersendirian. Sungguhpun A tidak mengizinkan Muhammad
masuk ke bilik, kehadirannya di hadapan pintu yang sibuk bertanyakan hal
keadaan A sudah cukup merimaskan. Dalam perbualan di antara mereka, Muhammad
sempat berpesan supaya A tidak keluar sendirian dan berborak sembarangan dengan
orang sekitar kerana menurutnya suku kaum di sini adalah golongan orang yang
berbahaya. Mendengarkan hal itu, Aku Ya Haadi terus beri petunjuk di hati A
untuk lebih berjaga-jaga terhadap lelaki di hadapannya itu.
Selepas Muhammad beredar, A menjengah ke bilik sebelahnya
yang dihuni oleh sebuah keluarga muslim yang pada ketika itu pintunya terbuka
dan kelihatan agak meriah dengan perbualan mesra sesama mereka. Mengucap salam
sebagai tanda perkenalan, A disambut baik keluarga tersebut lalu terus
bertanyakan soal Muhammad setelah Aku Ya Mukmin memberikan rasa yakin akan ketulusan
keluarga ini. “Do you saw the guy that I was talking to? The tricycle guy?”,
soal A. “Yes, yes,” jawab salah seorang dari mereka sambil mengangguk. “Do
you think I can trust him?”, soal A lagi. “No!”, serentak dua dari
mereka menjawab sambil tangan memberi isyarat jelas. A menghela nafas lega
sambil tersenyum lembut. Bertambah keyakinannya bahawa penting untuk menjauhi
Muhammad.
Hari berikutnya Aku masih menguji A dengan menghadirkan
Muhammad di hadapan pintu biliknya namun kali ini A bertindak tegas dalam
kelembutannya menerangkan kepada Muhammad untuk tidak lagi menjenguk di bilik. Muhammad
mula menakut-nakutkan A dengan cerita-cerita jenayah yang sering berlaku di
kawasan itu termasuklah human trafficking namun dengan tenang A
menegaskan bahawa dirinya berasa selamat dengan ditemani keluarga di sebelah
biliknya. Awalnya Muhammad seakan masih belum berpuas hati, namun Aku Ya Rahman
Ya Rahim Ya Jaami’ terus memasukkan rasa kasih dan sayang terhadap A kepada
seluruh ahli keluarga jiran sebelah bilik itu lalu mereka bersama membantu
untuk menghindarkan A dari lelaki itu. Setiap kali Muhammad datang lagi
mengetuk pintu bilik A, keluarga itu akan memberitahunya bahawa A tiada di
bilik dan meminta untuk A hanya berdiam diri tanpa apa-apa sahutan dari dalam
bilik serta memastikan pintu bilik dikunci kemas. Begitulah keadaannya sehingga
3 hari, Muhammad tidak lagi datang mengganggu.
Dek kerana peristiwa itu, A dan keluarga tersebut menjadi
akrab. Aku Ya Rahman Ya Rahim Ya Jaami’ terus menerus mempamerkan kedahsyatan
kasih dan sayangKu di antara mereka. Ibu, bapa, serta 4 orang anak gadis
termasuklah seorang jejaka suami kepada salah seorang anak perempuan keluarga
ini tidak jemu-jemu mengambil berat tentang A, malah melayan A seperti darah
daging mereka sendiri. Kerana risaukan A yang berjalan sendirian untuk mengisi
perut di gerai makan kawasan sekitar, baik waktu sarapan, makan tengahari
mahupun makan malam, hidangan pasti tersedia di muka pintu bilik A disajikan
sang ibu dengan penuh kasih. Sungguh terasa kedahsyatan kuasaKu Ya Rozzaq yang
luar biasa dalam memberi rezeki di hati A membuatkannya terharu dan terus
menerus mensyukuri setiap nikmat yang Aku Ya Rahman Ya Rahim Ya Rozzaq Ya
Waduud kurniakan kepadanya.
Hampir seminggu Aku Ya Muqtadir mentakdirkan mereka
menikmati kasih cinta dariKu bersama-sama, berjalan-jalan di pulau menziarahi
tempat-tempat menarik termasuklah masjid pertama yang terbina di negara itu
oleh seorang saudagar Arab. Makan bersama. Ke pasar bersama. Ke kedai runcit
bersama. Lagak mereka benar-benar seakan sebuah keluarga bahagia yang aman
sentosa sedang menikmati kasih dan kerinduan dariKu Ya Waduud. Ada malam, tidur
A ditemani anak gadis keluarga ini yang mempamerkan kejelitaanKu Ya Badi’ sehingga
membuatkan hati A berbunga-bunga mengenangkan kehebatanKu Ya Waduud yang teramat-amat
mempesonakan. Sungguh membahagiakan. “Mungkin inilah yang diumpamakan
bidadari syurga”, bisik A dari dalam bening hati kecilnya yang bergetar
halus.
Saksikanlah dengan dayaKu Ya Syahid Ya Waduud detik-detik bahagia ini yang sempat diabadikan.
.jpeg)
.jpeg)


.jpeg)
Comments
Post a Comment