Belajar Bahasa Maranao

Hari ke-27  | Barira, Mindanao

Aku Ya Hakim maha bijaksana telah mendetik hati A untuk memanjangkan singgahnya di bumi Mindanao kerana hikayatKu masih belum selesai diceritakan. Di antara desir ombak dan rimba Mindanao, A mengungkapkan hasrat itu kepada Nancy lalu disambut penuh kegembiraan dengan lafaz, “I am so happy,” sambil tersenyum riang dan meletak tangan di dada tanda kegembiraan yang melimpah. Seolah-olah Nancy belum puas memastikan A benar-benar dilayani sebaik mungkin.

Di Barira, A dilayan bagaikan permaisuri dengan segala keperluan dan kelengkapannya sempurna Aku Ya Muqit cukupkan, tanpa menggunakan duit walau sesen. Aku Ya ‘Alim Ya Hakim Ya Roshid kemudiannya mengajar A bahasa Maranao sebagai kemudahannya untuk berkomunikasi dengan penduduk di situ melalui sebuah sekolah rendah kampung yang terletak hanya bersebelahan rumah tempat A tumpang berteduh. Maka berlalulah hari-hari A menghadir diri di sekolah tersebut bergaul dengan kanak-kanak berusia antara 7 – 12 tahun yang menjadi teman sekelasnya. Aku Ya Waduud mengalirkan rasa kegembiraan dan keseronokan yang teramat-amat di dalam jiwa A dengan pergaulannya bersama anak-anak itu yang juga turut berasa teruja dan bahagia dengan kehadiran A. Sebagai pendatang baru yang kosong pengetahuan tentang bahasa ibunda puak Maranao, A dilihat sebagai individu yang menawan sehinggakan anak-anak itu berebut sesama sendiri untuk berinteraksi dengannya. Seperti itulah kedahsyatan kuasaKu Ya Rahman Ya Rahim yang menabur rasa kasih dan sayangKu buat sekalian makhluk-makhluk ciptaanKu tanpa apa-apa batas.

Berikut merupakan beberapa momen di sekolah yang sempat dirakam mempamerkan kuasaKu Ya ‘Alim Ya Hakim Ya Roshid yang mendidik dengan penuh kasih cintaKu Ya Waduud. 



Comments