Cahaya Yang Bersinar

Hari ke-23  | Butig, Lanao Del Sur, Mindanao

Aku Ya Badi’ maha cantik lagi indah, Aku juga Ya Musowwir maha kreatif yang merupa bentuk segala sesuatu dengan penuh keunikan, maka Aku mempamerkan keindahan dan kreativitiKu pada ciptaan-ciptaanKu di Barira seperti yang berikut:



Beberapa hari berlalu, Nancy bersama suami membawa A pulang ke kampung suaminya yang terletak di sebuah pekan purba bernama Butig, di mana jarak perjalanan memakan masa lebih kurang 5 jam dari Barira.

Sekali lagi A disambut meriah dengan penuh ramah mesra tatkala menjejak kaki di rumah ibu mertua Nancy yang mana juga merupakan tempat tinggal Nancy bersama suami, dan keluarga adik perempuan suaminya. Aku Ya Rahman Ya Rahim Ya Jaami’ benar-benar menyebarkan energi kasih sayang antara mereka yang tersangat kuat sehingga kesemuanya kelihatan seakan sebuah keluarga bahagia yang sedang bergembira dan saling berkenal-kenalan. Begitulah dahsyatnya kuasaKu, tanpa mengira pangkat mahupun darjat, miskin mahupun kaya, tua mahupun muda, jauh mahupun dekat, negara itu mahupun negara ini, ahli keluarga mahupun bukan, bujang mahupun berpasangan, tetap Aku kasihi dan sayangi dengan kasih sayang yang sungguh luarbiasa.

Petang itu Nancy membawa A berjalan sambil berkenalan di sekitar kejiranan lalu bertemulah A dengan kaum kerabat serta saudara mara suami Nancy, termasuk jugalah sahabat-sahabat mereka. Laksana permata bersinar memancar lembut cahaya ke hati-hati yang memandang, A disambut mesra dengan keterujaan bersulam senyuman berbunga. Setiap langkah A dirai dengan hati yang terpesona, bak bintang jatuh singgah ke bumi, seakan membawa sinar yang telah lama mereka nantikan. Satu persatu rumah A dipelawa masuk untuk bertamu bagaikan seorang pengembara asing yang tiba-tiba menjadi dambaan hati seluruh kampung.

Begitulah dahsyatnya kehalusan Aku Ya Nuur Ya Latif memancar cahaya ke dalam hati hamba-hamba kesayanganKu. Hanya dengan selayang pandang, Aku berkuasa untuk menyinar cahaya gemerlapan yang terang benderang sehingga sekalian alam tampak gilang-gemilang. Maka berbahagialah penduduk kampung di situ dengan kehadiran A, yang Aku Ya Muqtadir takdirkan untuk meluangkan masa, saling bertukar-tukar cerita dan pengalaman, menimba secebis ilmu dan pengalaman hidup bersama puak Maranao.

Beberapa hari berlalu, Aku Rahman Ya Rahim terus menerus mempamerkan kekuasaanKu dalam berkasih sayang di antara A dan penduduk kampung di situ sehinggalah terzahir pada beberapa orang kampung yang cuba memujuk A untuk terus menetap di Butig bersama mereka sungguhpun terdapat halangan bahasa. Tanpa membuat apa-apa keputusan, A hanya menurut agenda yang telah Aku Ya Baari’ aturkan buat dirinya lalu mengikut Nancy pulang semula ke Barira kerana kebenaran masuk tanpa visa selama 30 hari hampir tamat tempoh.

Dalam perjalanan 5 jam itu, Nancy bersama suaminya membawa A bersiar-siar di bandar Marawi City dan menunjukkan tinggalan bangunan-bangunan yang rosak dan runtuh akibat letupan bom sewaktu peperangan yang terjadi di situ pada tahun 2017 yang lalu. Antaranya adalah seperti yang berikut:


Comments